Ahad, 10 Julai 2011

SYAIR DI MANA MARUAHMU

Dengarlah Tuan curahan rasa
Nasib dikenang si anak bangsa
Sudahlah lama hati merengsa
Membekam dada duka nestapa

Cuba renungkan barang seketika
Nasib kita anak-anak merdeka
Lalai dan leka itu yang nyata
Sedang bangsa lain menapak jaya

Maruah bangsa sudah tercela
Anak bangsa didodoi dosa
Sketsa kehidupan dipalit noda
Perisai agama rapuh di dada

Konflik sosial itulah sandiwara
Warna-warni lakonan dunia
Bangsa kita gah di singgahsana
Apakah ini harus dibangga?

Doktor jalanan di mana-mana
Rempit jalanan pelesit kota
Bayi dibuang di merata-rata
Semua ini Melayulah juara

Melayu kita letak di mana?
Ketuanan bangsa selalu dijaja
Petualang bangsa pelbagai rupa
Arang diconteng ditoreh muka

Bangsa kita terjajah minda
Pasca merdeka tidak beretika
Budaya hedonisme itu irama
Gelombang Barat menderu rakusnya

Takkan Melayu hilang di dunia
Hulubalang Hang Tuah pernah berkata
Namun bangsaku seperti tiada
Apatah lagi Bahasaku dihina

Wahai bangsaku bersatulah kita
Janganlah lagi saling sengketa
Inilah harapan generasi muda
Sebagai pewaris wahana bangsa

Cukup di sini hamba bicara
Sekelumit waktu mengocak minda
Kalaulah Tuan tidak selesa
Jari kususun maaf dipinta.

Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
SMJK Choong Hua, 35500 Bidor, Perak DR
10.7.2011 Ahad, Jam 11.00 malam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan