Sabtu, 9 Julai 2011

PANTUN RASA

Si Dara Jelita berbaju kebaya,
Si Teruna tunduk merayu-rayu;
bugarkan pantun perkaya budaya,
itulah khazanah bangsa Melayu.


Anggerik menjalar di pohon kayu,
kembang setangkai di celah dahan;
itulah khazanah bangsa Melayu,
selagi upaya perlu dipertahan


Tanam pinang di tepi muara,
daun lebat bertambah layu;
indah kata pantun bicara,
betapa kaya kosa kata Melayu.


Berakit-rakit pergi ke hulu,
berenang-renang ke tengah laman;
budaya Melayu berpantun dulu,
semakin hilang ditelan zaman.


Ikan haruan dimakan buaya,
riang gembira si ikan puyu;
generasi sekarang ketandusan budaya,
sedang itu jati diri Melayu.


Nasi berulam pucuk kayu,
sungguh enak tidak terperi;
generasi pasca merdeka tertunduk layu,
budaya hedonisnik membelit diri.


Manis rasanya si buah duku,
mari dipetik bersama-sama;
sedih melihat nasib anak bangsaku,
menyongsang warisan generasi lama.


Pisang berangan manis rasa,
daunnya lebar tegak berdiri;
kekhilafan diri pasti terasa,

dek kesilapan kita sendiri

Kembang kemboja di pohon nona,
bunganya segar berwarna sirap;
dalam menjadikan manusia berguna,
kitalah acuan mengadun resepi mujarab.


Hinggap tempua di pohon meranti,
cantik sarangnya di pohon kelapa;
merosak diri sampai ke mati,
alangkah sedihnya si ibu bapa.


Kucing Parsi sesat di kota,
bulunya kotor dibilas-bilas;
alangkah sedihnya si ibu bapa,
manis diharap cuka dibalas.


Ketupat pulut ketupat palas,
enak dimakan di rumah nyonya;
manis diharap cuka dibalas,
kain putih dicorak lain jadinya.


Kemunting Cina ditanam si nyonya,
bunganya berseri dibuat dandanan;
kain putih yang dicorak lain jadinya,
era globalisasi menyerap tiada sempadan.


Kanak-kanak bermandi-manda,
tok mudin tersenyum di serambi;
usah runsing serabut di minda,
asas agama perkukuhkan di umbi.


Bijaknya Ahlil Nujum Pak Belalang,
menilik air jampi berkali-kali;
ilmu agama dah di main wayang,
halal dan haram dah tak dipeduli.


Tanam pinang berselang-seli,
biar senang puyuh berjalan;
pabila halal dan haram tak dipeduli,
kucar-kacirlah landskap kehidupan.


Sorong papan tarik papan,
buah keranji di atas tilam;
kucar-kacir landskap kehidupan,
nescaya hidup takkan tenteram.


Daun keladi dicurah garam,
semut api melata-lata;
nescaya hidup takkan tenteram,
selagi sandiwara dunia di depan mata.


Rupawan sungguh si gadis jelita,
menunggu tunangnya di depan pintu;
selagi sandiwara dunia di depan mata,
kitalah saksi, bertindaklah sesuatu.


Duka nestapa si yatim piatu,
mengemis simpati di Pekan Kuala;
kitalah saksi, bertindaklah sesuatu,
apakah peranan pemimpin pula?


Beraneka unggas di Kuala Gula,
terbang tinggi di balik awan;
apakah peranan pemimpin pula?
jengoklah nasib generasi anak wawasan


Manis rasa si buah pulasan,
ambil setangkai di atas para;
jengoklah nasib generasi wawasan,
mereka pencapai gagasan negara,


Ikan semilai nipah terkena tuba,
lari bertempiaran si ikan haruan;
hati ini terus membungkam hiba,
mengenang anak bangsa leka berpeleseran.


Pohon rambai di tepi reban;
ayam jantan luka di kepala;
anak bangsa leka berpeleseran,
di sana sini 1001 macam gejala.


Masam mencuka si buah pala,
mari dimakan bersama belacan;
di sana sini 1001 macam gejala,
kes buang bayi,Melayu di depan.


Di dalam bilik pengantin didandan,
pasangan sejoli sedang bercanda;
kes buang bayi, Melayu di depan,
tak adakah perasaan,keimanan di dada?


Pasang pelita di tepi beranda,
di hari raya rumah bagai istana;
tak ada perasaan,keimanan di dada,
kes dadah, Melayu juga di singgahsana.


Buah belimbing buah nona,
makan sebiji di atas titi;
kes dadah, Melayu di singgahsana,
usah hiba, itulah realiti.


Lebat daunnya pohon meranti.
burung berkicau di tepian pusara;
usahlah hiba itulah realiti,
institusi keluarga perlu dipelihara.


 Pisang nangka di atas para,
ambil seikat dibawa ke bendang;
institusi keluarga perlu dipelihara,
pantau anak-anak di masa senggang.


 Sayang sayang buah kepayang,
masak sebiji disambar helang;
pantau anak-anak di masa senggang,
disemai kasih dipupuk sayang.


Mengail puyu di Kampung Kepayang,
sebelum disiang dibuang durinya;
disemai kasih dipupuk sayang,
kain putih bersih ibu bapalah pencoraknya.


 Terbang rama-rama mencari bunga,
mati seekor di dalam bakul;
kain putih ibu bapalah pencoraknya,
betapa berat tanggungjawab dipikul.


Limau kasturi di dalam bakul,
diperah-perah dicampur cuka;
betapa berat tanggungjawab dipikul,
ilmu dunia ditimba,akhirat usah dilupa.


burung tekukur di dahan kelapa,
dapat seekor terkena jerat;
ilmu dunia ditimba,akhirat usah dilupa,
baharu bahagia dunia dan akhirat.


Kacip tua sudah berkarat,
isi pinang dibelah sendiri;
baharu bahagia dunia dan akhirat,
ayuh sejenak bermuhasabah diri.


 Gulai lemak ikan tenggiri,
sedang dimakan si gadis ayu;
ayuh sejenak muhasabah diri,
akan nasib bangsa Melayu.


Burung nuri di pohon kayu,
mati seekor di makan unta;
akan nasib bangsa Melayu,
doktor,peguam,jurutera di mana kita.


 Hari raya pasang pelita,
pelita dipasang di tepi reban;
doktor,peguam,jurutera di mana kita,
aduhai bangsa lain berada didepan.


Ayam berkokok di tepi reban,
benih padi tidak menajadi;
aduhai bangsa lain berada di depan,
mengapakah ini boleh terjadi?


 Anak dara di tepian mandi,
rupawan sungguh lagi jelita;
mengapakah ini boleh terjadi,
di manakah ketuanan kita?


 Daun lalang ditebas rata,
ular membelit dahan kelapa;;
di manakah ketuanan kita?,
Betulkah Melayu mudah lupa.


 Tinggi-tinggi pohon kelapa,
nyiur gading dibuat nira;
betulkah Melayu mudah lupa,
tepuklah dada tanya selera.


 Tinggi-tinggi pohon kelapa,
nyiur gading dibuat nira;
betulkah Melayu mudah lupa,
tepuklah dada tanya selera.


Jantung berdetak dada gelora,
terkumat-kamit membaca doa;
tepuklah dada tanya selera,
itulah warna-warni sandiwara dunia


Cantik molek indah rupanya,
sarang tempua di pohon pinang;
warna-warni sandiwara dunia,
sebab emas budi terbuang.


 Bersiul-siul di waktu senggang,
burung wak-wak terkena jerat;
sebab emas budi terbuang,
ibarat hina besi kerana karat.


Batang pisang dikerat-kerat,
dibuat rakit di dalam paya;
ibarat hina besi kerana karat,
hilangnya budi penyeri budaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan