Blog ini memaparkan curahan rasa penulis melalui karya puisi seperti pantun, gurindam dan syair. Selain diselitkan juga aktiviti riadah yang banyak manfaat kepada penulis.
Jumaat, 15 Julai 2011
GURINDAM KESIANNYA BANGSAKU
Kesiannya bangsaku yang masih terlena
Bagai bermimpi di siang hari lakunya
Kesiannya bangsaku yang meminta-minta
Bagai melukut di tepi gantang gelagatnya
Kesiannya bangsaku yang ingin cepat kaya
Bagai guruh di langit air tempayan dicurahnya
Kesiannya bangsaku yang hidup merana
Bagai kais ayam di kaki betapa peritnya
Kesiannya bangsaku yang menggadai bahasa
Bagai Kitul si pengkhianat negeri Melaka
Kesiannya bangsaku tiada status orang terkaya
Bagai ketuanan kita tiada lemak manisnya
Kesiannya bangsaku tercari-cari senada kata
Bagai aksi kucing dengan anjing lagaknya
Kesiannya bangsaku yang terjajah di minda
Bagai hati hitam dirasuk iblis lakunya
Kesiannya bangsaku leka di pelamin angannya
Bagai burung terbang dipipiskan lada
Kesiannya bangsaku yang suka mengata
Bagai tajam mata pedang tajam lagi lidahnya
Kesiannya bangsaku yang memijak budaya
Bagai ludah ke langit hidung sendiri terkena
Kesiannya bangsaku yang selalu dihina
Bagai sembilu tajam tertusuk di dada
Kesiannya bangsaku yang cela akhlaknya
Bagai nila setitik akan rosaklah susu sebelanga
Kesiannya bangsaku berbalah-balah sesama
Bagai kalah jadi abu menang jadi arang rupanya
Kesiannya bangsaku yang beretorika sahaja
Bagai ayam bertelur sebiji, riuh sekampung jadinya
Kesiannya bangsaku yang tergelincir agama
Bagai pohon rendang tetapi tiada buahnya
Kesiannya bangsaku yang suka cari salahnya
Bagai jari telunjuk kelingking berkait lakunya
Kesiannya bangsaku yang pentingkan dunia
Bagai hidup di dunia kekal selama-lamanya
Kesiannya bangsaku yang rosak akhlaknya
Bagai kaca terhempas ke batu lakunya
Kesiannya bangsaku yang mudah lupa
Bagai kacang lupakan kulit kiasnya.
Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
SMJK Choong Hua, 35500 Bidor,perak DR
13.7.2011 Rabu,Jam 6.40 petang.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan