Jumaat, 15 Julai 2011

PANTUN BAHASA

Kalau terpantul serimu dewi,
Sirnakan rasa menyesakkan minda;
Kalau betul Melayumu jati,
Bugarkan bahasa pasakkan budaya.
Menajak rata tanah di kota,
Mengelak angsa menerkam kuda;
Merojak kata madah tercipta,
Merojak bahasa membekam dada.
Katanya cinta tujahan mata,
Kasihnya Majnun tertarik Laila;
Murninya bahasa sejalan cita,
Hinanya bahasa dicarik kaca.
Menyukat barut disukat seluar,
Mata kelabu tidak kukenal;
Sekerat belut sekerat ular,
Rusa keliru tidak dikenal.
Kaca biru menggerlip digores,
Permata palsu pudar digaris;
Bahasa Melayu dipalit Inggeris,
Budaya Melayu calar dihiris.
Makan laksa di ceruk dapur,
Sepinggan bihun itu dihulur;
Bulan bahasa semarak obor,
Sepanjang tahun itu yang luhur
Pohon kemboja itu namanya,
Kembang bunga itu realiti
Bulan bahasa itu rasminya,
Sepanjang masa itu tradisi.

Menjaja laksa ke serata desa,
Buyung dibawa pemikat selera;
Bahasa kita pusaka bangsa,
Menjunjung budaya darjat mulia.


Raga nangka simpan di anjung,
Walau berselera kerana laparnya;
Pusaka bangsa akan disanjung,
Kalau bahasa dijaga darjatnya.
Baik-baik membaja peria,
Petola pula panjang berjela;
Baik-baik kita berbahasa,
Bahasa ibunda tunjang bangsa.
Seranjang keladi membanting tenaga,
Sekumpulan angsa melentik dada;
Bertunjang budi beranting budaya,
Berdahan bangsa berputik bahasa.
Landasan rasa bicara sendu,
Berdaki duka berkaca harapan;
Warisan kita bahasa Melayu,
Berbudi kita berbicara sopan.
Ilham rasa,
PAUZI MOHD ISA,
SMJK Choong Hua, 35500 Bidor,Perak DR

Tiada ulasan:

Catat Ulasan